Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan penularan wabak Ebola kedua di Congo, sekali gus menambah satu lagi krisis kesihatan bagi negara yang sedang menghadapi COVID-19 dan wabak campak terbesar di dunia itu.

Ketua Pengarah Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Congo juga belum mengisytiharkan secara rasmi wabak Ebola telah tamat di timur negaranya di mana lebih 2,000 telah meninggal dunia sejak Ogos 2018.

Ujarnya, kes baharu Ebola juga dikesan di utara Mbandaka di wilayah Equateur di mana pihak berkuasa kesihatan Congo telah mengenal pasti enam kes.

"Pemerintah Republik Demokratik Kongo (DRC) hari ini mengumumkan bahawa penularan baharu virus Ebola telah dikesan dekat bandar Mbandaka di wilayah Equateur.

"Pengumuman itu disusuli wabak Ebola yang kompleks di timur DRC yang kelihatan seperti berada pada fasa terakhir.

"Kes terbaharu ini dikesan di bahagian lain iaitu di barat DRC," kata Dr Tedros.

Dr Tedros dalam pada itu juga berkata WHO akan terus menyokong DRC dalam menangani wabak Ebola dan COVID-19 serta campak.