Seorang wanita Belanda berusia 107 tahun yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini dilaporkan pulih daripada jangkitan virus itu.

Dia kini dipercayai menjadi mangsa pandemik COVID-19 paling tua di dunia yang berjaya sembuh, lapor Reuters.

Cornelia Ras menunjukkan simptom pada 17 Mac, sehari selepas ulang tahunnya yang ke-107, sebaik pulang daripada menghadiri majlis di gereja bersama rakan dari pusat jagaan di Goeree-Overflakkee, sebuah pulau di barat daya negara itu.

Berikutan itu, dia menjalani pemeriksaan sebelum disahkan dijangkiti COVID-19 bersama 40 orang lain yang menghadiri majlis sama di gereja terbabit.

Akhbar Belanda melaporkan, seramai 12 orang daripada mereka kemudian meninggal dunia, tetapi Ras diberitahu oleh doktornya bahawa dia telah pulih, pada Isnin.

"Kami tidak menjangkakan dia mampu bertahan dan pulih.

"Dia tidak mengambil ubat-ubatan, masih mampu berjalan dengan baik dan sentiasa bersyukur. Dengan keadaan sebegini, dia kelihatan akan terus sihat," kata anak saudaranya, Maaike de Groot kepada akhbar tempatan.

Sebelum Ras, mangsa COVID-19 paling tua direkodkan terselamat adalah warga Amerika, Bill Lapschies, yang berusia 104 tahun.