Gara-gara menipu menghidap barah terminal untuk mendapatkan bantuan wang daripada keluarga dan rakannya, seorang wanita menerima padah selepas dia dihukum penjara tiga bulan.

Hanna Dickenson, 24 tahun dilaporkan menerima A$42,000 (RM126,010) selepas memberitahu ibu bapanya kononnya dia memerlukan rawatan perubatan di luar negara.

Ibu bapa wanita itu turut menerima bantuan daripada rakan mereka.

Dickenson bagaimanapun menggunakan wang itu untuk bercuti dan bersosial.

Majistret David Starvaggi menyifatkan penipuan dilakukannya sebagai 'perbuatan keji'.

Dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melbourne atas tujuh pertuduhan mendapatkan harta melalui penipuan.

Menurut sumber mahkamah, seorang pesakit kanser yang baru selesai menjalani rawatan turut mendermakan A$10,000 (RM30,002) kepadanya.