Kejam dan tidak berhati perut.

Itu yang boleh digambarkan terhadap perlakuan seorang wanita yang sengaja meracun anak lelakinya yang berusia dua tahun menggunakan cecair peluntur hanya untuk meraih simpati dan kutipan derma orang awam di Bangkok.

Lapor Bangkok Post, wanita itu, Nittha Wongwan, 29 tahun, yang juga dikenali sebagai "Mama Pook" itu ditangkap pada 22 Mei lalu atas tuduhan mengeksploitasi kanak-kanak untuk kepentingan sendiri, cubaan membunuh dan penipuan.

Suspek dilaporkan berjaya mengumpul kutipan derma sebanyak kira-kira 10 juta Baht (RM409,462) daripada 3,000 penderma dengan mendakwa bahawa anaknya, Im Boon, sedang sakit dan memerlukan bantuan kewangan bagi menanggung kos rawatan hospital.

Suspek juga turut memuat naik klip video kanak-kanak itu untuk meraih simpati orang ramai di platform media sosial.

Ketua Pengarah Jabatan Kanak-kanak dan Belia, Supatcha Sutthiphon berkata suspek pada mulanya mendakwa bahawa anaknya itu mengalami alahan kerana makanan laut, namun, perbuatan itu terbongkar selepas pihak hospital mendapati terdapat sejumlah besar bahan kimia berasid di dalam tubuh kanak-kanak malang itu, yang biasanya digunakan untuk mencuci tandas.

Polis kemudiannya mengeluarkan waran tangkap untuk menahan suspek, bagaimanapun, suspek tidak mengaku bersalah dan dia dihantar ke Mahkamah Jenayah untuk didakwa.

Namun, lebih mengelirukan, ada sumber yang mendakwa bahawa kanak-kanak malang itu bukan anak kandung suspek biarpun terdapat dokumen kelahiran yang menunjukkan nama suspek sebagai ibunya.

Malah, ada yang mendakwa bahawa suspek pernah melakukan jenayah sama beberapa tahun lalu ke atas mangsa yang berbeza sehingga menyebabkan kematian.

Pihak berkuasa sedang melakukan ujian DNA bagi menentukan perkara tersebut.

Kanak-kanak itu kini dijaga oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia selama enam bulan, jelas pihak penguatkuasa.