Seorang wanita nyaris maut apabila rumahnya roboh dilanda tanah runtuh setelah hujan lebat membadai bandar Sausalito di utara San Francisco, California, Amerika Syarikat pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Susan Gordon dijumpai dengan kesan lebam pada badan dan juga muka.

Susan yang trauma dengan insiden yang berlaku dibawa ke hospital untuk rawatan.

Selain kediamannya, Susan dilapor turut kehilangan kucing kesayangan Peach, lapor media tempatan.


Selain Susan, penghuni dari 50 rumah di daerah tersebut turut dipindahkan.

Pihak berkuasa menyediakan penempatan sementara buat mereka untuk berteduh sementara menunggu cuaca kembali reda.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca, daerah tersebut menerima taburan hujan lebat sehingga 13 sentimeter dalam tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa juga telah mengeluarkan amaran kepada penduduk setempat yang tinggal berhampiran kawasan sungai berikutan kekhuatiran kawasan tersebut akan turut dinaiki air.