VAPE sememangnya mampu membunuh. Ini kerana, jumlah kematian angkara rokok elektronik itu meningkat kepada enam orang di Amerika Syarikat, setakat ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Kansas, seorang wanita melebihi usia 50 tahun semakin menunjukkan simptom kesihatan yang merosot selepas mula menggunakan e-rokok tersebut.

Bagaimanapun, pihak Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Kansas masih tidak dapat mengenalpasti jenis e-rokok yang digunakan olehnya.

Kematian itu menjadikan ia sebagai kes pertama seumpamanya di negeri itu, akan tetapi ia dilihatkan sebagai satu kebimbangan yang besar terhadap penggunaan dan keselamatan rokok elektronik itu.

Ekoran itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Pentadbiran Makanan dan Dadah (CDC) dan Jabatan Kesihatan Negeri menyiasat wabak tersebut tetapi mendapati bahawa punca atau kesinambungan yang jelas terhadap kes itu masih tidak ditemui.

BACA: Rang undang-undang baharu kawal penggunaan vape dijangka dibentang hujung tahun ini

Setakat ini sahaja, terdapat lebih daripada 450 kes penyakit paru-paru yang mungkin mempunyai kaitan dengan e-rokok yang dilaporkan berlaku di 33 buah negeri dan Virgin Island.

Sebelum berlakunya kematian di Kansas, terdapat lima kematian dilaporkan terjadi di California, Illinois, Indiana, Minnesota dan Oregon.



Menurut rekod, kematian pertama penyakit paru-paru yang berpuncakan vape di AS dilaporkan di Illinois yang bermula pada bulan Ogos dan dikatakan mangsa adalah orang dewasa.

Kematian kedua pula terjadi di Oregon dan diikuti dengan Minnesota dan Indiana. Manakala kematian kelima baru sahaja terjadi pada Jumaat lalu di California.

BACA: Tamatkan sepenuhnya 'riwayat' segala jenis rokok - MCTC

Menurut CDC, e-rokok sememangnya tidak boleh digunakan oleh golongan belia, wanita hamil mahupun orang dewasa yang sebelum ini tidak pernah menggunakan apa-apa produk tembakau.

Walaupun siasatan ke atas wabak penyakit paru-paru sedang dijalankan, orang ramai harus mempertimbangkan untuk tidak menggunakan produk e-rokok dan bagi mereka yang menggunakannya perlulah memantau simptom yang mungkin akan berlaku, kata CDC lagi.

BACA: Cecair vape didakwa mengandungi morfin, syarikat ambil tindakan undang-undang

“Kini tiba masanya untuk berhenti menggunakan vape,” tegas Pegawai Perubatan dan Kesihatan Kansas, Dr Lee Norman dalam satu kenyataannya yang mengumumkan kematian keenam dalam negara itu pada Selasa.

“Jika anda atau orang yang anda sayangi menggunakan vape, tolonglah berhenti. Jumlah kematian penyakit paru-paru yang dilaporkan di seluruh negara kita ini semakin berleluasa,”

“Saya sangat bimbang dengan masalah kesihatan dan keselamatan penduduk di Kansas yang menggunakan produk rokok elektronik ini dan mendesak mereka untuk berhenti sehingga kita dapat menentukan punca penyakit paru-paru dan kematian yang datangnya daripada masalah paru-paru ini” tambah Dr Lee.

BACA: Pelajar sanggup kerja hujung minggu sebab nak beli vape - CAP

Persatuan Paru-Paru Amerika memberi amaran bahawa "e-rokok adalah tidak selamat" dan boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru yang tidak boleh dirawati.

"Tiada siapa digalakkan untuk menggunakan e-rokok atau apa-apa jenis produk tembakau lain. Pesanan ini menjadi semakin serius oleh sebab kes kematian dan penyakit paru-paru yang semakin tinggi di seluruh negara ini.”

Sementara itu, sebuah pertubuhan yang dikendalikan oleh bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, sejurus selepas tragedi itu mengumumkan pelancaran inisiatif baru sebanyak AS$160 juta (RM250.6 juta) bagi membendung penggunaan e-rokok di kalangan remaja di Amerika Syarikat.