KETUA pembangkang Jeremy Corbyn memaklumkan tidak lagi memimpin Parti Buruh pada pilihan raya umum akan datang selepas mengalami “kekecewaan” pada pemilihan yang sedang berjalan.

“Ini jelas merupakan satu malam yang amat mengecewakan untuk Parti Buruh dengan keputusan yang kami dapat,” kata Jeremy selepas berjaya mengekalkan kerusinya di Islington.

“Saya tidak akan memimpin parti dalam mana-mana kempen pilihan raya pada masa hadapan,” jelas beliau.

Namun, beliau yang kekal sebagai pemimpin parti itu akan membincangkan tentang masa depannya.

Tambahnya, “Brexit telah memecahbelahkan perdebatan dalam negara ini sehingga ia menguasai perdebatan politik secara normal.

“Saya sedar bahawa perkara itu telah menyumbang kepada keputusan yang diterima Parti Buruh di seluruh negara.

“Isu-isu keadilan sosial dan isu keperluan rakyat tidak akan lenyap hanya kerana cara Boris Johnson tangani Brexit pada ketika ini,” katanya.

Keputusan tidak rasmi mendedahkan Parti Konservatif di bawah pimpinan Boris Johnson dijangka membolot 368 kawasan Parlimen, lebih 50 berbanding pilihan raya pada 2017.

Kajian pengundian keluar (exit polls) yang diadakan di pusat pengundian itu mendedahkan Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn pula akan mendapat 191 kerusi.

Ini diikuti Liberal Demokrat dengan 13 kerusi dan SNP 55, manakala tiada sebarang kerusi untuk Parti Brexit dipimpin Nigel Farage.

Parti Buruh kalah teruk di beberapa kawasan yang dahulu bawah pegangannya, termasuk di Wrexham yang merupakan kekalahan pertama mereka di kawasan itu sejak 84 tahun lalu.