Selepas terlepas perbicaraan di Senat dua hari lepas, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meluangkan masa bertemu dengan Gabenor Negara di White House pada Isnin.

Ditanya mengenai rancangannya selepas ini, beliau mendedahkan, perhatiannya kini beralih kepada isu perdagangan dengan Eropah.

"Eropah telah melayan kita dengan buruk sekali. Kesatuan Eropah sememangnya dibentuk untuk melayan kita dengan buruk. Jadi, mereka telah melakukan kerja mereka. Itu salah satu sebab utamanya.

"Tetapi, mereka memperlakukan kita dengan buruk di sana dan terus terang saya katakan, mereka melayan kita dengan buruk dalam kes NATO.

"Tetapi NATO, saya telah terima, seperti yang anda ketahui, ASD130 bilion lagi. Mereka akan bayar kerana NATO akan jatuh seperti roket.

"Pemimpin terdahulu pergi ke sana, berucap dan pergi begitu sahaja. Sebaliknya, saya pergi ke sana, berucap dan menyatakan, kamu kena bayar lebih kerana Amerika Syarikat membayar segalanya.

"Pada dasarnya, mereka membayar hampir 100 peratus dan saya beritahu mereka, kami tidak ada pilihan," katanya.

Ketika sesi soal jawab, Trump juga berkata beliau menjangkakan wabak koronavirus baharu yang berasal dari Wuhan, China, akan berakhir pada April susulan cuaca lebih panas.

"Ramai orang kata wabak ini akan berakhir pada April, apabila cuaca panas. Biasanya, ia akan berakhir pada April.

"Bagaimanapun, kita dalam keadaan baik. Kita ada 12 atau 11 kes, kebanyakannya dalam keadaan baik."