Amerika Syarikat akan melaksanakan hukuman mati ke atas pengedar sebagai salah satu langkah mencegah penyalahgunaan dadah di negara itu.

Hukuman itu merupakan sebahagian pelan terbaharu pentadbiran White House yang akan dibentangkan Presiden Donald Trump pada Isnin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan White House, hukuman berkenaan akan diletakkan di bawah undang-undang berkaitan dadah sedia ada.

Namun kenyataan terbabit tidak menyebut bentuk hukuman mati yang akan dilaksanakan.

Trump dijangka mengumumkan pelaksanaan hukuman tersebut dalam ucapan yang akan disampaikannya di New Hampshire.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 2.4 juta penagih dadah direkodkan di negara Uncle Sam itu buat masa ini.

Laporan jabatan kesihatan pula mendedahkan dari Julai 2016 hingga September 2017, sejumlah 142,557 kes kecemasan akibat penggunaan dadah heroin telah direkodkan dan ia dianggap membimbangkan.

Pentadbiran Trump sebelum ini mengutuk keras pelaksanaan hukuman mati yang dilakukan pentadbiran Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Sepertimana yang berlaku pada pentadbiran Duterte, pelan terbaharu Trump turut mendapat tentangan khususnya daripada ahli kongres Parti Demokrat.

Bagi mereka, cadangan dan pelan baharu itu sebagai melampau dan Trump dilihat cuba lari daripada isu utama iaitu usaha bagi meningkatkan akses rakyat kepada rawatan dan pemulihan.