AMARAN awal dikatakan telah dikeluarkan perkhidmatan perisikan India kepada pegawai atasan Sri Lanka menjelang kejadian pengeboman terancang yang berlaku Ahad lalu.

Menurut laporan portal CNN, amaran yang dikeluarkan beberapa minggu dan hari sebelum kejadian tersebut berlaku adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sesi soal siasat bersama suspek gerakan pengganas antarabangsa, Daesh yang ditahan di India.

Suspek tersebut mendedahkan nama seorang lelaki, Zahran Hashim yang dilatihnya di Sri Lanka, terlibat dalam rancangan serangan tersebut.

Zahran dikatakan terlibat dengan kumpulan ekstremis tempatan.

Dia juga merupakan antara individu yang dikenal pasti dalam satu video yang dimuat naik Daesh pada Selasa dan dipercayai dalang utama serta ketua kumpulan pengganas tempatan, National Thowheed Jamath (NTJ).




BACA: Tragedi Sri Lanka: Daesh dakwa bertanggungjawab

BACA: Tragedi Sri Lanka: 'Sebenarnya tindakan balas dendam serangan Christchurch' - Menteri


Sebelum ini, kerajaan Sri Lanka menyalahkan dua kumpulan pengganas tempatan, NTJ dan Jammiyathul Millathu Ibrahim ke atas serangan terhadap tiga gereja dan empat hotel di negara pulau itu.




Namun, mereka mengesyaki bahawa kedua-dua kumpulan tersebut mungkin mendapat bantuan daripada kumpulan pengganas antarabangsa.


Siri amaran yang dikeluarkan

Ketika penyiasat sibuk mengesan rakan sekutu pengebom, kemarahan di kalangan rakyat Sri Lanka semakin membara atas kegagalan kerajaan mengambil langkah bagi menghalang kejadian ngeri tersebut daripada berlaku.


4 April

Amaran pertama dikeluarkan iaitu dua minggu sebelum serangan tersebut berlaku.

Menurut jurucakap kerajaan, Rajitha Senaratne, agensi perisikan asing memaklumkan kepada pegawai atasan Sri Lanka tentang kemungkinan serangan bom bunuh diri akan berlaku di gereja dan juga tempat tarikan pelancong.


9 April

Lima hari selepas amaran pertama dikeluarkan Kementerian Pertahanan memaklumkan kepada Ketua Polis Negara mengenai plot yang sama dan menamakan kumpulan yang dipercayai merupakan dalang serangan itu iaitu NTJ berserta senarai suspek.


11 April

Satu lagi memo yang ditandatangani Timbalan Ketua Polis Negara, Priyalal Dissanayake diedarkan secara meluas kepada pelbagai perkhidmatan keselamatan dan beberapa kementerian kerajaan.

Memo tersebut sekali lagi mempunyai perincian tentang serangan tersebut dan mengandungi senarai suspek.

Perkhidmatan keselamatan asing mengulangi amaran mereka beberapa hari dan jam sebelum serangan berlaku.

Tambah Senaratne, satu amaran dikeluarkan sepuluh minit sebelum letupan.




Setakat ini, angka kematian akibat serangan bom telah meningkat kepada lebih 300 orang dan seramai 40 individu telah ditahan polis sebagai suspek di sebalik serangan letupan bersiri tersebut.