MENURUT agensi berita rasmi Daesh, Amaq, kumpulan pengganas antarabangsa itu telah mendakwa pihaknya bertanggungjawab atas letupan di Sri Lanka yang membunuh seramai 321 orang.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, tujuh pengebom dinamakan: Abu Ubayda, Abu ul-Mukhtar, Abu Khalil, Abu Hamza, Abu al-Baraa, Abu Muhammad dan Abu Abdullah.

Dakwaan tersebut disebarkan melalui beberapa kumpulan ‘chat’ yang digunakan pengganas Daesh menerusi aplikasi Telegram, memetik laporan akhbar New York Times.

Mereka mendakwa bahawa serangan tersebut disasarkan terhadap penganut agama Kristian serta rakyat mana-mana negara yang menentang Daesh.

Menurut wartawan New York Times, Rukmini Callimachi, Daesh menceritakan bagaimana individu bernama Abu Hamza meletupkan rompinya di Gereja St Anthony's di Colombo, manakala Abu Khalil menjalankan serangan letupan di Gereja St Sebastian di Negombo dan Abu Muhammad di Gereja Zion.


Pada masa sama, individu lain pula bertanggungjawab atas serangan terhadap hotel.

Sebelum ini, kerajaan Sri Lanka menyalahkan dua kumpulan pengganas tempatan, National Thawheed Jama’ut dan Jammiyathul Millathu Ibrahim atas serangan terhadap tiga gereja dan empat hotel di negara pulau itu pada Ahad lalu.

Namun, mereka mengesyaki bahawa kedua-dua kumpulan tersebut mungkin mendapat bantuan daripada militan antarabangsa.

BACA: Tragedi Sri Lanka: 'Sebenarnya tindakan balas dendam serangan Christchurch' - Menteri

Timbalan Menteri Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene turut mendakwa insiden yang mencederakan 500 orang itu merupakan tindakan balas dendam terhadap serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.

Sejak berlakunya serangan pengganas yang membunuh 50 umat Islam di Christchurch, Daesh telah menyeru agar angkatan pengganasnya menyasarkan gereja sebagai balas dendam.

BACA: Selepas 4 tahun berperang, Daish akhirnya tewas di Syria

Walaupun Daesh tidak lagi berkuasa di Syria dan Iraq, tetapi kumpulan pengganas itu masih menjadi ancaman kepada keselamatan sedunia.

Setakat ini, seramai 40 individu ditahan polis sebagai suspek di sebalik serangan letupan bersiri tersebut.