Pihak Thai berkuasa mengakui ada kemungkinan kumpulan pengganas Daish telah cuba membina rangkaian operasi di Selatan Thai sebagaimana mereka telah lakukan di negara-negara serantau lain.

Bagaimanapun, percubaan Daish menubuhkan sarang keganasan di wilayah selatan negara ini telah dapat digagalkan.

"Mungkin ada percubaaan untuk masuk (membina rangkaian berkenaan) tetapi kami sentiasa dapat menyekatnya," kata Timbalan Perdana Thai Jen Prawit Wongsuwan pada Rabu.

Prawit, yang juga Menteri Pertahanan dan menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri ditanya mengenai seorang warga Thai yang dikehendaki oleh polis Malaysia kerana penglibatannya dengan Daish.

Polis Malaysia masih memburu lelaki Thai itu Awae Wae-eya, 37, dari Cho Airong di Narathiwat, bersama tiga rakyat Malaysia - Nor Farkhan Mohd Isa, 31, dari Skudai, Johor; Muhamad Hanafi Yah, 51, dan Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor.

Menurut kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, empat 'pelarian' itu dianggap berbahaya.

Sementara itu, setiausaha agung Majlis Keselamatan Nasional (NSC) Thai Jen Wanlop Raksanor memperkecilkan peranan lelaki Thai itu dengan Daish atau cawangan serantaunya, dengan menyatakan lelaki itu hanya seorang laskar maya untuk kumpulan pengganas itu.

Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa lelaki itu adalah warga Thai.

"Lelaki itu mengikuti Daish dari internet atau Facebook. Beliau jenis orang yang menyokong dan menyukai idea Daish tetapi bukan penyokong tegar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Di PATTANI, jurucakap Tentera Wilayah Empat, Kol Pramote Prom-in pada sidang akhbar di sebuah kem tentera, bersependapat dengan Wanlop berhubung penilaiannya tentang lelaki Thai itu.

Beliau berkata berasaskan siasatan, penduduk asal Cho Airong itu tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan pengganas itu, tetapi suka menonjolkan hubungannya dengan Daish di media sosial.

Namun, Daish tidak pernah menjejakkan kaki dan menjalankan operasi di selatan Thai, kata Pramote.

-- BERNAMA