TIMBALAN Perdana Menteri Britain, Damian Green terus menerima kecaman selepas kantoi memiliki 'ribuan' bahan lucah ekstrem dalam komputer pejabat miliknya.

Kandungan imej lucah didakwa telah ditemui semasa serbuan pada 2008 yang bertujuan menyasarkan kebocoran kerajaan, lapor bekas detektif Scotland Yard Neil Lewis yang terlibat secara langsung dalam siasatan kes itu.

Pendedahan itu akan memberi impak memalukan kepada Green dan Perdana Menteri British, Theresa May, memandangkan kerajaan mereka berdepan pelbagai 'serangan' sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, Lewis lapor BBC tampil menyokong sumber Sunday Times yang memetik bekas pegawai kanan polis selepas Green dikatakan menafikan mengenai perkara itu.

Green dikatakan menafikan laporan The Sunday Times berhubung tuduhan itu dan menyatakan ia sangat tidak benar selain datang daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.

Lewis berkata, dia merupakan individu yang melakukan serbuan di pejabat Green dan menyiasat komputer miliknya.

Lewis berasa sangat 'terkejut' dengan jumlah kandungan itu yang terdapat pada komputer selain tidak meragui imej lucah itu telah dilayari Green.

"Komputer itu berada di pejabat Green, di atas mejanya, menggunakan kata laluannya, akaun serta nama beliau.

"Di samping melayari porno, Green juga telah menghantar e-mel daripada akaunnya... akaun personal beliau, membaca dokumen. Malah ia satu yang tidak masuk akal berkata perkara itu dilakukan oleh orang lain," katanya kepada BBC.