NOVEL koronavirus boleh tersebar kepada mana-mana individu meskipun individu yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England, Amerika Syarikat, kajian mengambil contoh empat rakan sekerja di Jerman yang telah dijangkiti virus bahaya itu walaupun masing-masing tidak menunjukkan sebarang simptom.

Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alergik Kebangsaan Amerika Syarikat, Dr. Anthony Fauci berkata, tiada sebarang keraguan dalam kajian tersebut.

"Kajian itu menjelaskan mengenai penyebaran virus boleh berlaku tanpa menunjukkan sebarang simptom.

"Kajian ini boleh menghentikan sebarang persoalan mengenai penyebaran virus tersebut," katanya memetik laporan CNN, hari ini.

Rantaian penyebaran virus itu bermula dengan seorang wanita di Shanghai, China telah dijangkiti selepas ibu bapanya pulang dari Wuhan.

Ibu bapa wanita berkenaan berada dalam keadaan sihat ketika melancong tetapi disahkan mengalami koronavirus.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 250 nyawa

Wanita berkenaan kemudiannya menghadiri seminar dan makan bersama beberapa rakan sekerjanya di Munich, Jerman dan ketika itu dia sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda dijangkiti.

Dalam tempoh lapan hari, empat pekerja di Jerman disahkan dijangkiti koronavirus, sedangkan beberapa pekerja berkenaan tidak menghadiri seminar yang lalu.

Malangnya mereka dijangkiti virus itu selepas meluangkan masa dengan pekerja yang menghadiri seminar tersebut.