MAKAN di restoran, menghadiri konsert atau menonton perlawanan bola sepak di stadium.

Semua yang disebutkan di atas tidak boleh dilakukan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun depan, kata seorang pakar perubatan Amerika Syarikat (AS).

Dr. Ezekiel J. Emanuel, pakar onkologi di Fakulti Perubatan, Universiti Pennsylvania berkata, ini adalah kerana dia meramalkan vaksin COVID-19 hanya akan berjaya ditemui pada akhir tahun 2021.

"Saya kecewa apabila White House dengan yakin mengatakan yang hidup kita akan kembali normal dalam beberapa bulan ini, dan September ini musim futbol akan bermula seperti biasa.

"Itu semua tidak akan berlaku," katanya yang merupakan sebahagian daripada pasukan Obamacare, sebuah akta kesihatan yang diwujudkan semasa era pentadbiran Barack Obama.

"Kita harus mempersiapkan negara. Proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan.
"Kita perlu melakukan perubahan besar-besaran, bukan sekadar bagi bantuan untuk beberapa minggu.

"Saya tidak fikir vaksin boleh disiapkan tahun ini. Untuk keselamatan, kita perlu berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga, sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun hadapan," tambahnya.