Perdana Menteri Britain, Theresa May dijangka mengumumkan perubahan Kabinet menteri pada Isnin.

May bagaimanapun dijangka mengekalkan Menteri Luar Negeri, Kewangan, Dalam Negeri dan Brexit, lapor akhbar Sunday Times.

The Sunday Times berkata rombakan itu bertujuan mengangkat pembuat dasar dari kalangan wanita muda dan kumpulan minoriti ke dalam kabinet beliau selain usaha untuk 'memujuk' sekali gus mendapatkan sokongan selepas tamparan hebat pada pilihan raya tahun lalu.

May juga dijangka mengumumkan setiausaha pertama negara yang baharu, memegang jawatan selaku individu nombor duanya, selepas sekutu lama, Damian Green dipaksa meletak jawatan bulan lepas, kata akhbar itu.

May, yang menjadi Perdana Menteri tidak lama selepas undi Brexit pada pertengahan 2016, dijangka mengadakan rombakan dalam barisan menterinya selepas situasi 'suram' pada 2017 apabila beliau memutuskan mengadakan pilihan raya hingga kehilangan majoriti Parlimen.

Ketika ini, Kementerian Luar Negeri dipimpin oleh Boris Johnson; Kementerian Kewangan, Philip Hammond; Kementerian Dalam Negeri, Ambur Rudd dan Setiausaha Brexit, David Davis.

The Sunday Times berkata menteri yang dijangka digugurkan atau berpindah ke jawatan lain ialah termasuk Pengerusi Parti Konservatif Patrick McLoughlin, Menteri Pendidikan Justine Greening, ahli politik Greg Clark dan Andrea Leadsom.