Polis Thai terkejut bila mereka menemukan 300kg "Ice" (Methaphetamine kristal) disorokkan dalam ratusan buah tembikai dalam sebuah lori yang mengangkut hasil pertanaian di Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand.

Menurut ketua Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, dadah itu dianggarkan bernilai berjuta-juta Baht adalah untuk dibawa ke selatan Thailand untuk kemudian diseludup masuk ke Malaysia.

"Sekumpulan empat orang, dua lelaki dan dua perempuan, menunggu dadah itu di Yala, selatan Thailand di mana mereka merancang untuk menyeludupkan bahan itu melintasi Sungai Golok, masuk ke Malaysia," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Sungai Golok ialah sebatang sungai kecil yang memisahkan Narathiwat di selatan Thailand dengan Kelantan.

Sommai berkata empat orang diberkas oleh pihak berkuasa dalam serbuan berasingan di Narathiwat dan Yala pada Isnin, dan mereka menyertai tiga lagi lelaki lain yang ditangkap sehari lebih awal di pusat pemeriksaan di Nakhon Ratchasima.

Ketujuh-tujuh suspek itu kini sedang disiasat polis berkaitan ke berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, tentera laut Thai yang meronda Sungai Mekong dekat sempadan Thai-Laos pada Isnin memintas sebuah bot membawa kira-kira 11 juta biji 'Yaba' - Methaphetamine tahap rendah.

Mereka menahan seorang lelaki dalam bot itu, katanya.

-- BERNAMA