Menepati ramalan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu dilepaskan daripada dua pendakwaan ke atasnya membabitkan kes penyalahgunaan kuasa dan menghalang tugas Kongres.

Bagi kes penyalahgunaan kuasa, 52 ahli Kongres bersetuju melepaskan Trump sementara 48 tidak bersetuju.

Sementara bagi tuduhan menghalang tugas Kongres, 53 ahli bersetuju melepaskannya berbanding 47 tidak bersetuju membebaskan presiden ke-45 AS itu.

Serentak keputusan ini, Trump terlepas daripada perbicaraan di Senat dan tidak akan disingkirkan daripada terus menduduki White House.

Beliau menjadi presiden ketiga dalam sejarah Amerika Syarikat yang berdepan pendakwaan dan terselamat daripada pendakwaan.

Prosiding yang dijalankan di Dewan Senat dikendalikan Ketua Hakim John Roberts.

“Perkara berhubung pendakwaan (pertama), 48 senator menyatakan Donald Trump bersalah seperti didakwa, sementara 52 senator pula menyatakan beliau tidak bersalah.

“Dua pertiga senator yang hadir tidak mendapati beliau bersalah. Dengan itu, Senat mengumumkan Trump tidak bersalah dalam perkara pertama pendakwaan," kata Roberts.

"Bagi perkara kedua, 47 ahli mendapati Donald Trump bersalah seperti didakwa, 53 mendapati beliau tidak bersalah. Dua pertiga senator menyatakan beliau tidak bersalah.

"Oleh itu, Senat memutuskan responden, Donald Trump, tidak bersalah seperti didakwa di dalam perkara kedua," katanya membacakan keputusan kedua.

Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi mengoyak ucapan Trump di Dewan Senat, Washington, 4 Feb, 2020. REUTERS

Terdahulu, Trump didakwa menyalahguna kuasa dengan menggunakan pegawai tentera untuk menekan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky agar menyiasat bekas Naib Presiden AS, Joe Biden, pencabar utamanya dalam pilihan raya presiden 2020.

Trump menafikan beliau telah melakukan sebarang salah laku.

Rumah Putih juga menolak dakwaan itu dan tidak akan bekerjasama dengan pihak penyiasat.