Stesen televisyen Rusia menyiarkan video tentang penemuan senjata kimia yang didakwa digunakan dalam serangan oleh tentera Rusia di Douma baru-baru ini.

Bercakap kepada stesen RTR, Alexander Rodionov, salah seorang anggota yang bertugas di unit perlindungan senjata berkata, pakar menemui klorin dan komponen utama yang digunakan untuk menghasilkan gas mustard di makmal pemberontak di Douma.

Katanya pada Selasa, bahan-bahan utama yang ditemui di makmal adalah sama dengan gambar yang dikeluarkan oleh pihak aktivis di Syria.

Sebelum ini, pihak aktivis menyalahkan kerajaan Syria di bawah kepimpinan Presiden Bashar al-Assad yang didakwa menjadi dalang utama insiden serangan senjata kimia di Douma, yang meragut puluhan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kejadian ini mendorong Amerika Syarikat, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara sebagai tindak balas ke atas tragedi berdarah itu.

Kerajaan Syria dan sekutu kuatnya Rusia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Malah, Moscow melemparkan tuduhan bahawa kumpulan pemberontak di Douma bersekongkol dengan pasukan perisikan British untuk melakukan serangan tersebut.

Britain bagaimanapun menyangkal tuduhan tersebut.