Kempen 'Tears of Muslim World' menyampaikan mesej kesedaran menentang penindasan selain kesengsaraan Rohingya, Syria dan Palestin.

Presiden Halaqah Kebajikan Islam Mahasiswa Brisbane (Hakim) Amirul Hafizan Zainal berkata, ia sekali gus
menyatakan sokongan usaha Malaysia menangani isu itu secara diplomasi selain misi bantuan kemanusiaan dan penyertaan dialog di peringkat antarabangsa.

"Ia merupakan kerjasama Aman Palestin Australia dan WeMalaysia Australia. Ia inisiatif mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Queensland, Australia sendiri bagi menzahirkan kesedaran terhadap mereka yang ditindas.

"Rintihan demi rintihan yang didengari berkaitan penindasan etnik Rohingya, penderitaan pelarian dari Palestin dan Syria kesan dari peperangan telah lama berlarutan.

"Dunia tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja malah perlu melakukan sesuatu bagi menangani kemelut ini dan mengelak situasi ini semakin mencengkam," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

BACA: Lawatan TPM ke kem Rohingya bukti keprihatinan Malaysia

BACA:
Malaysia gesa anggota D-8 bantu pelarian Rohingya

Jelasnya, krisis kemanusiaan adalah ekspresi solidariti anak muda di luar negara dalam kempen berkenaan dan memberi pendedahan kepada masyarakat Australia, khususnya para pelajar dan tenaga pengajar mengenai nasib pelarian.

"Pelarian ini hidup tanpa keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta tempat tinggal.

"Program ini juga bertujuan sebagai wadah bagi memupuk keprihatinan dan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya mengekalkan kestabilan dan keharmonian dalam sesebuah negara," tegasnya.

Katanya lagi, dunia perlu sentiasa konsisten menyokong usaha mengecam keganasan yang berlaku dalam masyarakat global tanpa mengambil kira perbezaan fahaman agama, politik dan warna kulit.

Sambil merujuk kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ketua Aman Palestin Queensland Australia Sharifuddin Mohd Rafflee mengharapkan pertubuhan berkenaan mengambil langkah proaktif menyelamatkan keadaan daripada penindasan yang berlarutan sehingga meragut nyawa tidak berdosa melibatkan kanak-kanak dan wanita.

"Pentingnya dunia bersatu dan muafakat dalam mencari jalan penyelesaian mengekalkan kehamornian dan keamanan sejagat.

"Rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan dan mengambil bahagian dalam menyalurkan bantuan dengan mengemaskini berita mengenai negara-negara yang bergolak serta berkongsi berita tersebut di laman sosial.

"Sumbangan dan bantuan daripada rakyat Malaysia pula boleh dibuat melalui akaun Aman Palestin," ujarnya.

Sementara itu, pengarah bersama program, Nur A’in Syazwani Abdul Khalim Khapi dan Ili Najihah Mamat Khalid berkata risalah maklumat dan penerangan berkaitan penderitaan Rohingya, Syria dan Palestin diedarkan semasa kempen bertujuan memberikan gambaran terkini situasi yang tegang berlaku di tiga negara berkenaan.

"Informasi tersebut mengandungi urusan bantuan kemanusiaan yang boleh dijadikan rujukan dan panduan ke arah penghayatan dalam kesedaran," jelasnya.

Majlis penutupan kempen diserikan dengan kehadiran Pengerusi WeMalaysia Australia, Muhammad Ali Halim Sirat yang juga merupakan Presiden Griffith University Muslim Students Association (GUMSA).

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).