Angka korban akibat Taufan Hagibis yang melanda Jepun pada malam Sabtu lalu meningkat kepada 35 orang.

Lebih 110,000 penyelamat termasuk 31,000 tentera membersihkan laluan sejak Ahad bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat tanah runtuh selepas hujan lebat.

Media tempatan berkata, sekurang-kurangnya 35 maut manakala agensi berita Kyodo melaporkan hampir 20 orang hilang, namun kerajaan meletakkan angka kematian rendah daripada itu iaitu sekurang-kurangnya 14 orang meninggal.

Sebanyak 21 sungai melimpah termasuk di Nagano menyebabkan air sungai Chikuma membanjiri kawasan kediaman penduduk mencecah tingkat kedua.

Taufan Hagibis membadai pulau utama negara itu di Honsu malam Sabtu lalu sebagai taufan paling ganas membawa angin dengan kelajuan sehingga 216 kilometer sejam.

Taufan itu menyebabkan kira-kira 120,000 rumah bergelap dan terputus bekalan air sehingga Ahad.

Bencana itu juga menyebabkan puluhan ribu orang berada di pusat perlindungan dan tidak pasti bila dapat pulang ke rumah masing-masing.

Malah kemusnahan itu memaksa Piala Dunia Ragbi dianjurkan Jepun membatalkan beberapa perlawanan namun pasukan ‘Brave Blossom’ berjaya menumpaskan Scotland pada Ahad dan melayakkan mereka ke suku akhir buat kali pertama. - AFP