Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven mempertahankan strategi negara dalam memerangi COVID-19 dengan mengulangi pendekatan jangka panjang negara Skandinavia itu demi mengekang penyebaran virus korona berkenaan.

Sehingga kini, COVID-19 telah membunuh lebih dari 3,500 orang di negara tersebut.

Lofven memaklumkan, beliau ingin menghilangkan tanggapan bahawa negara itu tidak memandang serius wabak tersebut.

"Hidup tidak berjalan seperti biasa di Sweden. Ramai orang tinggal di rumah, yang memberi kesan positif untuk mengekang penyebaran virus.

"Tentu saja kami sedar terlalu ramai orang kehilangan nyawa mereka kerana COVID-19," katanya.

Tambahnya, seperti beberapa negara lain, Sweden tidak berjaya melindungi nyawa mereka yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas.

Dengan kira-kira 90 peratus kematian COVID-19 berusia atas 70 tahun, yang kebanyakannya penghuni rumah jagaan, pihak berkuasa dikritik kerana gagal melindungi golongan tersebut.

Media tempatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini melaporkan kes di rumah persaraan , yang menyaksikan jumlah kematian besar. Para petugas rumah jagaan pula terus bekerja walaupun kekurangan alat perlindungan, selain menunjukkan gejala jangkitan serta berpotensi menjangkiti penduduk.

Selain itu, beberapa rumah persaraan juga mengalami kekurangan petugas selepas mereka enggan untuk bekerja dan memilih untuk tinggal di rumah.

Lofven mengatakan bahawa walaupun angka kematian di rumah warga tua sangat disesalkan dan mengecewakan, ia tidak membatalkan strategi keseluruhan negara itu.

Sweden katanya, mengambil pendekatan yang agak lembut dalam memerangi koronavirus, yang menarik perhatian antarabangsa.

Perhimpunan besar-besaran dilarang tetapi restoran dan sekolah untuk kanak-kanak tetap dibuka.

Majoriti rakyatnya juga dilaporkan mematuhi arahan penjarakan sosial dengan baik.