Suspek lelaki yang menembak mati seorang polis di bandar Auckland, New Zealand dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

Ketika permulaan prosiding, suspek yang berusia 24 tahun itu hanya mengesahkan identitinya sebelum mendiamkan diri.

Bagaimanapun, identiti penuh suspek tidak didedahkan.

Prosiding berlangsung melalui sidang video berikutan sekatan berhubung COVID-19 masih dilaksanakan di negara itu.

Dalam perkembangan sama, polis mengesahkan sedang memburu seorang wanita berusia 30 tahun yang dipercayai turut membantu dalam insiden pembunuhan tersebut.

Pada Jumaat, mangsa, Konstabel Matthew Hunt, 28, dan seorang lagi anggota polis ditembak ketika mereka melakukan pemeriksaan rutin trafik di sekitar Massey.

Mengikut rekod, mangsa merupakan pegawai ke-23 di New Zealand yang ditembak mati ketika sedang bertugas sejak 1890, di mana insiden terakhir berlaku lebih 10 tahun lalu. - Agensi