POLIS California menahan enam ahli kumpulan yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan di laman belakang sebuah kediaman di tengah Fresno pada November.

Ketua Polis Fresno, Andy Hall pada satu sidang media berkata, kesemua suspek mengaku melakukan serangan tembakan itu, yang mengakibatkan empat maut sementara enam lagi cedera.

Motif pembunuhan dipercayai berunsur balas dendam, di mana mereka mengesyaki mangsa bertanggungjawab membunuh adik kepada salah seorang suspek beberapa jam sebelum serangan.

"Kesemua enam suspek adalah anggota geng Persatuan 'Mongolian Boys'.

"Suspek dikenali sebagai Billy Xiong, 25 tahun; Anthony Montes, 27 tahun; Porge Kue, 26 tahun; Johnny Xiong, 25 tahun; Pao Vang, 19 tahun; dan Jhovanny Delgado, 19 tahun.

"Mereka sudah pun ditahan dan kami telah memohon tuduhan terhadap mereka," katanya seperti dilapor media antarabangsa.



Sebanyak 19 waran geledah telah dikeluarkan pada 26 Disember lalu, dan pihak berkuasa berjaya merampas dua senjata api yang digunakan dalam pembunuhan tersebut termasuk salah satunya dicuri dari Oklahoma.

Dalam kejadian pada 18 November lalu, suspek melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penonton membabitkan 35 orang yang berkumpul di belakang rumah di Fresno, kira-kira 320 kilometer di utara Los Angeles.

Antara mangsa yang terkorban termasuk penyanyi yang popular dalam kalangan masyarakat setempat iaitu Xy Lee, 23 tahun.