Pihak berkuasa Korea Selatan mengesahkan sekurang-kurangnya 1,600 tetamu negara berkenaan menjadi mangsa spy-cam, di mana aksi mereka bersama pasangan di dalam bilik motel disiarkan melalui penstriman langsung sepanjag tahun lepas.

Spycam yang digunakan bersaiz kecil dan disembunyikan di dalam televisyen, soket atau mana-mana tempat sesuai bagi mendapatkan sudut pandang terbaik.

Setakat ini, polis mengesahkan 42 motel di 10 bandar di negara berkenaan dikesan mempunyai kamera tersembunyi.

Video aksi tetamu motel berkenaan disiarkan secara langsung di beberapa laman web yang mempunyai 4,000 ahli berdaftar.

Menurut laporan CNN, setiap ahli dikenakan bayaran langganan sekitar AS$50 sebulan yang memberikan mereka akses untuk menonton secara langsung atau siaran ulangan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, bilik motel yang dihuni wanita adalah sasaran utama penjenayah spycam ini.

Menurut laporan, jenayah melibatkan spycam di Korea Selatan meningkat daripada 1,100 kes pada 2010 kepada lebih 6,500 kes pada 2017.

Bantahan awam yang diadakan tahun lepas memaksa pihak berkuasa menubuhkan pasukan khas bagi memeriksa lebih 20,000 tandas awam bagi mencari kamera tersembunyi.

Mereka juga merancang untuk meluaskan pencarian ke sekolah menengah, menengah rendah dan sekolah rendah.

Bagaimanapun, usaha berkenaan turut dikecam kerana penjenayah akan terus bebas untuk mencari peluang di tempat lain pula.

Januari lalu, pihak berkuasa menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terjadap pemilik laman web pornografi terbesar negara berkenaan kerana memuat naik bahan tidak menyenangkan termasuk footage daripada kamera teresembunyi.

Jenayah spycam ini turut mencetuskan kebimbangan warga Korea Selatan dan memaksa mereka membeli pengesan kamera tersembunyi.

Menurut laporan The Korean Times, jumlah jualan pengesan kamera meningkat sejumlah 333 peratus awal tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini juga sebahagian besarnya dipercayai disumbangkan oleh insiden bintang K-pop, Jung Joo-young yang menyebar video seks pasangannya selepas dirakam secara rahsia.