Seorang lelaki di Indonesia tekad membakar isterinya hidup-hidup selepas berlaku pertengkaran di sebuah rumah tumpangan di Surabaya semalam.

Penyelia rumah tumpangan tersebut, Heri Suhandoyo, 46, berkata, pasangan suami isteri dikenali sebagai Putri, 25, dan Purwanto, 45, menyewa salah sebuah bilik di rumah tumpangan itu.

Menurutnya, dia tidak tahu dengan tepat bagaimana Purwanto membakar isterinya, namun mengakui pasangan itu mengalami krisis rumah tangga.

Tambah Suhandoyo, pasangan itu sudah tidak tinggal bersama sejak beberapa hari lalu, tetapi mangsa kembali ke rumah tumpangan dari rumah keluarganya bersama ibunya.

"Mereka baru berkahwin kira-kira dua bulan lalu. Namun pertengkaran teruk pagi ini.

"Selepas lima minit mendengar mereka bergaduh, saya mendengar Putri berteriak akibat panas dan tubuhnya terbakar," katanya.

Ketua Polis Surabaya, Widiyantoro. - Foto Agensi
Katanya lagi, mangsa mengalami kecederaan parah dan segera dibawa ke hospital berdekatan.

Selepas kejadian itu, suami mangsa telah melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Surabaya, Widiyantoro berkata, pihaknya masih menyiasat motif Purwanto membakar isterinya.

"Kami telah melihat tempat kejadian jenayah, namun motif masih dalam siasatan.

"Kami juga sedang memburu pelaku," katanya.

Mangsa mengalami luka terbakar di lengan, kaki dan muka, tetapi keadaannya stabil. - Agensi