Satu solat jenazah ghaib diadakan di Istanbul pada Jumaat untuk wartawan kanan Arab Saudi, Jamal Khashoggi selepas lebih sebulan kolumnis The Washington Post itu meninggal dunia.

Solat jenazah ghaib yang diadakan di Masjid Fatih itu turut dihadiri kenalan Khashoggi dan ahli politik Turki.

Solat jenazah ghaib diadakan selepas jenazahnya gagal ditemui kerana dipercayai dilupuskan pelaku.

Ia diadakan sehari selepas Riyadh mengumumkan hukuman mati terhadap lima suspek utama yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.


Pada 20 Oktober, kerajaan Arab Saudi mengesahkan kematian Khashoggi, 59 tahun, kelahiran Arab Saudi yang hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat sejak 2017.

Kata Arab Saudi, menerusi pengumuman di stesen televisyen berita rasmi negara itu, Khashoggi meninggal dunia selepas berlaku pergaduhan antaranya dengan pegawai konsulat di premis tersebut.

Serentak itu, 18 suspek yang merupakan warga Arab Saudi ditahan bagi membantu siasatan.