Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Isnin mengecam sikap Turki di Libya yang disifatkannya sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima.

Ini kerana Perancis melihat Ankara sebagai penghalang dalam mendapatkan kata putus gencatan senjata di negara yang dilanda konflik itu.

“Apabila saya melihat apa yang telah dilakukan minggu lalu di bawah arahan NATO di Pantai Libya, ia sesuatu yang tidak boleh diterima dan saya akan membawa anda kembali kepada kenyataan saya dari tahun lalu mengenai NATO yang 'mati otak', ini contoh situasi terbaik.

“Ketika dua anggota NATO berhadapan dengan situasi ini dan tidak menerima kecaman, itu sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Macron bercakap demikian pada sidang media dengan Presiden Tunisia Kais Saied di Paris.

Macron mendesak Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk menghentikan tindakan negaranya di Libya.

Macron mengatakan bahawa dia ada membincangkan masalah itu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu panggilan telefon pada Isnin.

White House dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pemimpin itu bersetuju mengenai keperluan mendesak gencatan senjata di Libya dan perundingan semula yang pantas oleh pihak Libya.

Trump dan Macron mengulangi bahawa peningkatan ketenteraan di semua pihak harus segera dihentikan untuk mengelakkan konflik Libya menjadi lebih teruk dan berbahaya.

Ketegangan antara Perancis dan Turki meningkat setelah insiden 10 Jun melibatkan kapal perang Turki dan kapal Tentera Laut Perancis di Mediterranean, yang mana Perancis menganggap ia sebagai tindakan permusuhan dalam undang-undang perikatan NATO.