Boris Johnson atau Jeremy Hunt bakal mengisi jawatan Perdana Menteri Britain dalam satu pengumuman yang akan dibuat pada 23 Julai ini, lapor Parti Konservatif pada Selasa.

Menurut parti itu, undi pos sebanyak 160,000 dalam kalangan ahli Parti Konservatif bakal menentukan pengganti Theresa May selepas tugas pemimpin itu secara rasminya tamat pada 22 Julai.

Pada 24 Mei lalu, May mengumumkan akan meletak jawatan pada 7 Jun selepas berdepan tekanan daripada parti pimpinannya, Parti Konservatif, dan pihak pembangkang yang mendesak pengundurannya.

Kerajaan May gagal mengawal situasi politik tidak menentu yang dilihat melemahkan peranan London dalam rundingan Brexit, selepas parti itu berbelah-bagi mengenai kaedah Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) selain peletakan jawatan beberapa menterinya.

May sebelum ini membuat tawaran mengejutkan untuk meletak jawatan sebagai usaha akhir untuk mendapatkan sokongan Parlimen terhadap perjanjian Brexit yang dirancangnya.