SOKONGAN terhadap warga Amerika berkulit hitam George Floyd yang terkorban di tangan anggota polis berkulit putih bulan Mei lepas telah merebak ke seluruh dunia. Walaupun kejadian itu berlaku di Amerika namun solidariti untuk Floyd dan protes terhadap kekejaman polis itu berlaku di mana-mana.

Malah bukan sahaja polis Amerika yang menjadi sasaran tetapi patung pedagang hamba abdi turut menjadi mangsa. Di Bristol, UK patung Edward Colston pedagang hamba abdi British abad ke 17 telah ditumbangkan dan dicampak ke dalam laut ketika siri protes anti perkauman pada bulan Jun lepas.

Solidariti berikutan kematian George Floyd ini terserlah juga di dalam sukan apabila ahli-ahli sukan menunjukkan tanda solidariti dengan melutut sebelah kaki sebelum perlawanan-perlawanan. Contohnya apabila perlawanan-perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) disambung semula selepas "lockdown" kesemua perlawanan pembukaan telah dimulakan dengan pemain-pemain melutut sebelah kaki. Pemain-pemain EPL juga telah memakai patch "Black Lives Matter" pada lengan jersi mereka.

Solidariti dan kesedaran yang dizahirkan oleh pemain-pemain bola sepak itu perlu dipuji. Walau bagaimanapun bukan sahaja kematian orang kulit hitam yang perlu diperjuangkan. Bagaimana dengan penduduk Palestin yang dibunuh oleh regim Yahudi? Bagaimana pula dengan umat Islam Uighur yang ditindas oleh pemerintah komunis Cina? Mereka juga terkorban

Solidariti terhadap Palestin sering berlaku tetapi oleh penyokong-penyokong. Contohnya pada perlawanan Liga Juara-Juara UEFA ( UCL ) di antara kelab Scotland Celtic dan kelab Israel Hapoel Beer Sheva pada 18 Ogos 2016 di Scotland melihat bendera-bendera Palestin dikibarkan sebagai tanda protes terhadap regim Yahudi.

Akibat kejadian ini, Celtic telah didenda 10,000 Euro atau 8,600 pound oleh persekutuan bola sepak Eropah, UEFA. Tindakan penyokong-penyokong Celtic dikatakan bertentangan dengan larangan mempamerkan kenyataan-kenyataan politik termasuk bendera dan kain rentang. Walau bagaimanapun bendera-bendera regim Yahudi telah dikibarkan tanpa sebarang tindakan dikenakan.

Terdapat juga pemain-pemain yang begitu lantang menyuarakan nasib mereka yang tertindas. Yang terkini bekas pemain EPL untuk Chelsea, Newcastle dan West Ham dari Senegal, Demba Ba, telah mengecam Negara China yang telah menganiaya minoriti Islam Uighur dan menuduh sukan lebih mementingkan wang dari moral.

Beliau yang beragama Islam berkata jika pemain bola sepak bangkit memperjuangkan isu ini, ramai yang akan turut serta.

Sebelum ini, pada bulan Disember tahun lepas pemain Arsenal Mesut Ozil telah turut mengecam China dalam isu Uighur melalui media sosial dan menyeru solidariti bersama mereka. Akibat komen Ozil, tayangan secara langsung perlawanan di antara Arsenal dan Manchester City pada televisyen China minggu itu telah dibatalkan.

Sukan terutama bola sepak akan dituduh mengambilkan sikap pilih kasih jika memejamkan mata terhadap kekejaman dan penindasan ke atas umat Islam Palestin dan Uighur. Tidak memadai mereka menyokong "Black Lives Matter" tetapi nasib mereka yang lain tidak diberi perhatian.

Risikonya memang besar. Contohnya pada tahun 2019 EPL menandatangani perjanjian bernilai 564 juta pound untuk menyiarkan perlawanan-perlawanan secara langsung di Negara China selama 3 musim. Negara tersebut dengan lebih 1.4 bilion penduduk merupakan lombong emas bagi EPL. Selain dari itu terdapat kelab-kelab seperti Chelsea, Liverpool dan Tottenham di mana mereka yang berketurunan Yahudi memiliki pegangan saham yang banyak.

Walau bagaimanapun jika dunia bola sepak berdiam diri maka memang benar dakwaan Demba Ba bahawa sukan ini hanya mementingkan duit. Solidariti terhadap George Floyd berlaku tetapi di masa yang sama berdiam diri ketika umat Islam Palestin dibunuh dengan kejam seolah-olah menyerlahkan sifat hipokrit.

Pada 13 Ogos lepas akhbar Mail UK melaporkan Ozil mengkiritik Arsenal kerana tidak mempertahankan beliau di dalam isu Uighur ini. Beliau juga menggesa agar kelab itu menyokong kempen "Muslim Lives Matter".

CIMB Liga Super akan disambung semula pada 26 Ogos. Pasukan-pasukan boleh menunjukkan mereka berbeza dengan memakai patch "Muslim Lives Matter" pada lengan jersi mereka sepertimana pemain-pemain EPL memakai patch "Black Lives Matter". Dunia sukan tidak boleh berdiam diri, kita mulakan di negara kita.


* Penulis ialah bekas Exco Perumahan Negeri Selangor (2008 – 2018), kini Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan (REACH).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.