Seorang lelaki yang sering mengalami sakit kepala sejak lima tahun lalu terkejut apabila hasil pemeriksaan doktor mendapati punca sebenar kesakitannya itu disebabkan terdapat cebisan kayu yang berlonggok di dalam otaknya.

Dalam kejadian di Yunnan, China itu, doktor memberitahu Zhou bahawa cebisan kayu berkenaan jika disambungkan boleh mencapai ukuran 11 sentimeter.

Zhou mula mengalami sakit yang aneh sejak dua bulan lalu apabila kelopak matanya mulai membengkak sebelum memutuskan untuk ke hospital bagi menjalani rawatan.

Ketika ditanya doktor bagaimana cebisan kayu berkenaan boleh ‘menetap’ di dalam kepalanya selama lima tahun, Zhou pantas mengimbas semula kejadian dia terjatuh ketika di dalam hutan sebelum kepalanya tertusuk oleh dahan sebatang pokok.

“Dahan pokok itu menembusi kepala dan rongga mata. Ada juga ranting yang tertusuk ke dalam mata.

“Saya berusaha menarik keluar ranting dan dahan berkenaan sebelum berjaya menghentikan pendarahan, tetapi tidak ke hospital kerana tidak mempunyai wang yang cukup,” katanya kepada Oddity Central.

Zhou bagaimanapun masih bernasib baik kerana tusukan berkenaan tidak mengenai pembuluh darah atau sistem sarafnya.

Doktor kemudian memberitahu Zhou bahawa dia harus menjalani pembedahan, namun isterinya enggan kerana bimbang suaminya akan menjadi buta, selain dihimpit masalah kewangan yang teruk.

Pasukan doktor kemudian berjaya meyakinkan isterinya untuk Zhou menjalani pembedahan tanpa sebarang caj tambahan.

Pembedahan itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kejadian buruk.