Polis Belanda sedang memburu seorang lelaki warga Turki berusia 37 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan insiden tembakan rambang di dalam tram di Utrecht, hari ini.

Memetik laporan Reuters, suspek tersebut dikenal pasti sebagai Gokmen Tanis.

"Polis meminta anda berjaga-jaga dengan individu bernama Gokmen Tanis (lahir di Turki) berusia 37 tahun yang ada kaitan dengan insiden pagi ini," kata polis dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, satu kejadian tembakan rambang telah berlaku di dalam sebuah tram di Utrecht, Belanda.

Menurut Datuk Bandar Amsterdam, tiga telah disahkan maut manakala sembilan lagi cedera.

Susulan kejadian itu, polis anti-pengganas telah dihantar bagi mengepung dan menjejak suspek yang memulakan tembakan itu.

Kesemua sekolah dan masjid juga telah diarahkan tutup ekoran timbul kebimbangan ia mempunyai kaitan terhadap kejadian tembakan ke dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas, yang hingga kini telah mengorbankan 50 orang.