Menyeramkan lagi menakutkan!

Itu situasi yang boleh digambarkan apabila sebuah roda Ferris (Ferris wheel) secara tiba-tiba gagal berfungsi dengan baik berikutan lebihan penumpang.

Kejadian itu berlaku di sebuah karnival di Sakon Nakhon, Thailand pada malam Ahad lepas.

Berdasarkan rakaman video amatur, alat permainan setinggi 12 meter itu sukar untuk membuat pusingan dan ia amat berbahaya khususnya buat penumpang.

Selepas menyedari kejadian itu, pengendali alat permainan berkenaan juga kelihatan panik dan cuba untuk menghentikan roda berkenaan menggunakan sebatang besi.

Dalam video sama, pengendali itu turut memanjat roda berkenaan untuk mengawal pergerakannya selain cuba menggunakan tenaganya untuk menghentikan alat permainan itu.

Pengendali itu akhirnya berjaya menghentikan pergerakan roda Ferris itu dan menyalahkan kejadian ribut dan hujan lebat sebagai punca gangguan pada kabel alat itu.

Namun, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pengunjung karnival mahupun penumpang roda Ferris berkenaan.