KUMPULAN selebriti terkenal mengutuk keras kempen iklan terbaharu rumah fesyen H&M UK yang disifatkan berunsur perkauman dan tidak sensitif meskipun syarikat peruncitan fesyen itu telah memohon maaf.

Antara yang lantang mengkritik iklan “Coolest monkey in the jungle’’ atau "Monyet paling 'cool' dalam hutan", penyerang Manchester United Romelu Lukaku yang memuat naik pos yang unik di laman instagramnya.

Lukaku memuat naik gambar iklan yang diedit dengan perkataan 'Black is Beautiful' (Hitam adalah Cantik) yang segera mendapat pujian daripada pengikutnya.

Bersama gambar itu, kapsyen Lukaku turut menarik perhatian netizen: "Kamu adalah putera yang bakal menjadi Raja. Jangan beri peluang kepada orang lain untuk memberitahu kamu sebaliknya dengan hashtag #blackexcellence.


Seorang lagi selebriti sukan yang tidak berpuas hati dengan iklan tersebut adalah bintang bola keranjang, LeBron James.

LeBron memuat naik gambar iklan tersebut yang diedit dengan kapsyen "@hm anda salah tanggapan terhadap kami."

Tambahnya, "apa yang saya lihat ialah seorang raja yang muda!! Pemimpin negara, kuasa yang tidak boleh disentuh yang tidak boleh dinafikan.

"Kami keturunan Afrika Amerika akan sentiasa memecahkan halangan, membuktikan mereka salah dan bekerja keras untuk membuktikan kami tergolong tetapi itulah yang kami sukakan kerana penyudahnya sangat indah!!"


Baju panas tersebut dikatakan masih dijual bagi kanak-kanak lelaki berusia 1 hingga 10 tahun pada harga 7.99 pound, namun iklan telah digantikan dengan kanak-kanak berkulit putih.