Percutian yang sepatutnya menjadi memori indah kepada selebriti terkenal Filipina, Ruffa Gutierrez, sebaliknya menjadi igauan apabila beliau mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan seksual sekumpulan lelaki sewaktu di sebuah taman tema air di Subang Jaya, baru-baru ini.

Bekas peserta Miss World 1993 itu mendakwa, kumpulan lelaki berkenaan mengeluarkan kata-kata berbaur lucah, serta cuba mengambil gambar dua anak gadisnya, Lorin Gabriella, 15 tahun dan Venice Bektas, 14 tahun.

Dalam perkembangan terbaharu, Gutierrez melalui laman Twitternya berkata, pengurus besar taman tema air itu telah menghubungi beliau secara peribadi berhubung insiden berkenaan.



Media melaporkan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari sebagai berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada Gutierrez berhubung insiden itu.

Insiden itu menjadi perbualan pengguna laman media sosial yang rata-rata menganggap ia tidak sepatutnya berlaku, dan memberi imej yang buruk kepada negara dari padangan pelancong asing.