PELANGGARAN di antara kapal Malaysia, MV Polaris dan kapal pengangkut berbendera Yunani, Piraeus baru-baru ini telah menyemarakkan lagi episod ketegangan di antara Malaysia dan Singapura di wilayah dipertikaikan di Selat Johor.

Singapura menyatakan pelanggaran berlaku di perairannya, tetapi kenyataan ini telah dinafikan Jabatan Laut Malaysia yang bertegas ia berlaku di perairan Malaysia di Selat Johor.

Beberapa minggu lalu, Singapura menyatakan bahawa peluasan had Pelabuhan Johor telah menceroboh wilayah maritimnya.

Isu berpanjangan ini memerlukan penyelesaian -- penetapan sempadan maritim di antara dua negara berjiran.

Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Johor pada tahun 1528, kerajaan warisan Kesultanan Melaka setelah ia jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Pada tahun 1819, British menubuhkan penempatan perdagangan di Singapura dengan keizinan pemerintah Singapura pada ketika itu.

Lima tahun berikutnya, Singapura diserahkan kepada British termasuk pulau-pulau kecil di Selat Johor dan Selat Singapura.

Satu abad kemudian, British menandatangani perjanjian dengan Sultan Johor pada tahun 1927 yang membahagikan Selat Johor dan ini dipersetujui sekali lagi menerusi Perjanjian 1995 di antara Malaysia dan Singapura yang menyaksikan sempadan dilukis menggunakan garis lurus sepanjang kawasan terdalam di Selat Johor.

Ini menjelaskan kenapa sempadan antarabangsa Malaysia dan Singapura dilukis di tengah Selat Johor dengan semua pulau di Selat Johor iaitu Pulau Ubin dan Pulau Tekong menjadi milik Singapura.

Walau bagaimanapun, sebelum Perjanjian 1995 dimeterai, Malaysia telah mengeluarkan ‘Peta Baru 1979’ di mana Malaysia secara unilateral memasukkan Batu Puteh dan Pelabuhan Tuas sebagai sebahagian daripada wilayah maritim Malaysia.

Singapura telah membuat protes terhadap tuntutan berkenaan.

Peta 1. Sempadan Maritim Malaysia-Singapura Berakhir di Pelabuhan Tuas, Seperti yang ditunjukkan oleh Garis Merah dalam peta ini  (Sumber: Maritime and Port Authority of Singapore)

Seperti yang tertera di Peta 1, Perjanjian 1995 tidak termasuk kawasan Pelabuhan Tuas. Garis coklat dalam Peta 1 menunjukkan tuntutan maritim Malaysia pada tahun 1979 telahpun di’ambil’ oleh Singapura menerusi penambakan tanah di sekeliling kawasan Tuas pada tahun 1996.

Sesebuah negara boleh mendapatkan kedaulatan ke atas sesuatu wilayah sekiranya kedaulatan ke atas wilayah tersebut diserahkan kepadanya.

Ini adalah cara yang digunakan pihak British sewaktu mereka mendapatkan Singapura pada tahun 1824 daripada Kesultanan Johor.

Lagi pula, menurut undang-undang antarabangsa, ‘prescription’ atau preskripsi merujuk kepada cara mendapatkan kedaulatan dengan kaedah mengamalkan kedaulatan untuk jangka masa yang munasabah tanpa sebarang bantahan daripada negara-negara lain.

Sebagai contoh, seperti yang ditunjukkan dalam Peta 1, Singapura telah menjalani beberapa proses penambakan tanah di titik paling timur tuntutan unilateral Malaysia (digambarkan garis coklat), menjadikan kawasan yang dahulunya wilayah pertikaian sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

Sekiranya Malaysia berdiam diri dan membenarkan Singapura atau negara-negara lain mengamalkan kedaulatan di kawasan pertikaian, lambat laun, Malaysia tidak akan berupaya menuntut kedaulatan ke atasnya lagi berdasarkan konsep preskripsi di bawah undang-undang antarabangsa.

Berdasarkan fakta ini, Malaysia mestilah sentiasa bersiap siaga dan bertegas untuk menafikan segala tuntutan atau perlakuan yang boleh mengancam kedaulatannya di wilayah pertikaian dan mempertimbangkan untuk mendirikan ‘pagar maritim’ bagi mengelakkan wilayahnya diceroboh.

Pertikaian berterusan ini adalah manifestasi bahawa sekiranya sempadan maritim tidak dilukis dengan jelas, Malaysia dan Singapura bebas menuntut mana-mana kawasan dalam wilayah pertikaian tersebut sebagai milik mereka.

Telah tiba waktunya untuk Malaysia dan Singapura memberi fokus dalam menyelesaikan pertikaian di antara kedua-dua negara. Sehingga kini, Israel dan Palestin masih belum menetapkan sempadan antarabangsa mereka di Tebing Barat. Akibatnya, kedua-dua entiti ini tidak berhenti berbalah sampai ke hari ini.

Tidak seperti hubungan Israel-Palestin, Malaysia dan Singapura sudah menjalankan hubungan diplomatik yang baik sejak lima dekad lalu yang membolehkan kedua-dua negara maju bersama.

Sebagai pemain utama ASEAN, adalah penting untuk kedua-dua negara ini meneruskan hubungan baik sedia ada.

Persoalannya bukanlah Selat Johor milik siapa. Persoalannya adalah bagaimana membahagikan wilayah pertikaian di Selat Johor secara saksama di antara Malaysia dan Singapura.


Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.