SELEPAS teruk dikritik, Presiden Donald Trump pada Jumaat menegaskan bahawa cadangan supaya pembasmi kuman disuntik sebagai rawatan COVID-19 hanyalah komen yang dibuat secara sarkastik.

Bercakap ketika menjawab soalan wakil media, beliau berkata: “Saya hanya menimbulkan persoalan itu secara sarkastik kepada wartawan seperti kamu, untuk lihat apa yang akan berlaku.”

Pada Khamis, beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh pakar sains dan perubatan sebagai rawatan koronavirus.

Antaranya termasuk suntikan pembasmi kuman (disinfectant) yang wujud dalam produk pembersihan, seperti bahan peluntur.

Beliau turut melontarkan idea untuk memantulkan cahaya ke badan bagi menghapuskan jangkitan COVID-19.

“Saya rasa ia belum diuji lagi tetapi kamu akan mengujikannya,” kata Trump kepada pakar-pakar perubatan pada sidang media Khamis lalu.


Susulan itu, syarikat RB yang terkenal untuk produk pembasmi kuman seperti Dettol dan Lysol menegaskan bahawa produknya langsung tidak sesuai digunakan dalam badan.

Pengeluar produk pembersihan Domestos turut memberi amaran menerusi Twitter bahawa bahan peluntur itu harus digunakan dengan selamat.


Seteru politiknya, Joe Biden juga beri amaran kepada orang ramai supaya tidak menelan bahan peluntur sebagai langkah pencegahan koronavirus, menurut satu ciapan yang telah mendapat ribuan retweet.


Sebelum ini, seorang lelaki di Arizona maut akibat menelan chloroquine selepas mendengar cadangan Trump bahawa bahan tersebut boleh mencegah COVID-19.

BACA: Lelaki maut akibat ambil chloroquine untuk cegah COVID-19