Rangkaian televisyen terbesar Filipina, ABS-CBN Broadcasting Corporation menghadapi risiko penutupan setelah sekutu presiden Rodrigo Duterte di Kongres terus melengah-lengahkan proses untuk memperbaharui lesen 25 tahun stesen itu.

Lapor agensi berita AlJazeera, langkah itu dilihat sebagai satu lagi tindakan 'perang' terhadap media oleh pentadbiran Duterte.

Menurut Peguam Negara Filipina, Jose Calida, tidak ada peruntukan undang-undang untuk memberikan ABS-CBN kebenaran untuk terus beroperasi mahupun lesen sementara kerana masih belum menerima persetujuan dari Kongres yang kini tidak bersidang.

Tambah Calida, mana-mana pegawai kerajaan yang menentang akan didakwa.

Duterte sebelum ini mendakwa stesen ABS-CBN telah menolak untuk menyiarkan iklan politiknya selama musim berkempen selain liputan stesen tersebut yang mendedahkan mengenai perang dadah yang telah mengorbankan ribuan nyawa.

Sejak pelantikan Duterte sebagai presiden pada Jun 2016, Duterte berulang kali mempamerkan rasa kurang senangnya terhadap rangkaian televisyen itu, yang dimiliki oleh salah sebuah keluarga terkaya di Filipina.

Kontroversi itu timbul apabila Jabatan Kehakiman sebelum ini menasihatkan Suruhanjaya Telekomunikasi Nasional (NTC), badan pemerintah yang ditugaskan untuk mengeluarkan lesen siaran, supaya memberi ABS-CBN lesen sementara untuk membolehkannya terus beroperasi, dengan persetujuan dari Kongres.

Setelah perintah berkurung di Filipina dilaksanakan pada pertengahan Mac ekoran wabak COVID-19, NTC juga mengatakan bahawa semua permit untuk beroperasi dan bersiaran yang tamat dalam tempoh berkurung, akan diperbaharui secara automatik.

Walau bagaimanapun, dalam satu kenyataan yang bercanggah pada Ahad, Calida menegaskan bahawa NTC tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen walaupun lesen sementara kepada ABS-CBN, memandangkan kuasa itu hanya tertakluk kepada Kongres.

Tanpa lesen, ABS-CBN kini menghadapi kemungkinan untuk berhenti daripada bersiaran, dan malah bakal menghadapi perintah mahkamah untuk berhenti beroperasi. Namun, stesen itu tetap dibenarkan untuk menyumbang kandungan berita.

"Seorang penindas akan sentiasa ingin mengawal media, dan Duterte tidak terkecuali," kata Fe Zamora, seorang wartawan veteran yang pernah membuat liputan beberapa presiden Filipina.

Sebelum ini, pentadbiran Duterte pernah melakukan pendakwaan terhadap laman berita, Rappler dan editornya, Maria Ressa, susulan liputan yang meluas mengenai perang dadah dan pendedahan mengenai peranan pentadbiran Duterte dalam menyebarkan berita palsu.