Selepas hampir lima bulan, akhirnya pihak berkuasa Ukraine meruntuhkan khemah-khemah penunjuk perasaan yang didirikan di luar pagar parlimen negara itu di Kiev.

Ia susulan ketegangan yang memuncak antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu.

Polis mengesahkan menahan lebih 100 penunjuk perasaan dan merampas sembilan butir bom tangan dan beberapa bom buatan sendiri.

Enam penunjuk perasaan dikejarkan ke hospital dipercayai cedera selepas bertempur dengan pihak berkuasa.

Kesemua khemah yang diroboh diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan Kiev.

Khemah terbabit telah didirikan Oktober lalu oleh penyokong bekas presiden Georgia, Mikheil Saakashvili, yang menjadi tokoh pembangkang terkemuka di Ukraine.

Saakashvili yang berdepan beberapa pertuduhan sebelum ini telah diusir keluar dari Ukraine pada 12 Februari lalu.

Penunjuk perasaan menuntut penubuhan sebuah mahkamah anti rasuah dan peletakan jawatan Presiden Petro Poroshenko.