Ketua negara dan kerajaan dari 28 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat pada Khamis bagi menentukan hala tuju rundingan 'Brexit' seterusnya.

Mesyuarat berlangsung di Brussels dijangka bakal berhasil dengan konsensus untuk menyambung rundingan 'Brexit' ke fasa kedua, melibatkan isu masa depan hubungan dengan United Kingdom serta perdagangan.

Sehingga kini negara anggota bersetuju rundingan sudah menunjukkan perkembangan yang cukup untuk memasuki fasa seterusnya.

Bagaimanapun, beberapa isu dijangka jadi pertikaian.

Antaranya, sama ada kuota mandatori bagi pelarian bagi mereka yang tiba di Greece dan Itali, kekal di bawah tanggungjawab EU.

EU juga dijangka memperkenalkan sistem kerjasama pertahanan baru, bagi menambahbaik kerjasama negara anggota berhubung isu keselamatan.