Beratus-ratus kediaman di utara Ireland terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik terputus akibat dibadai Ribut Frank yang turut membawa hujan lebat dan angin kencang.

Ribut yang turut melanda beberapa wilayah Eropah lain termasuk Scotland dan barat laut England pada Selasa malam waktu tempatan itu telah mengakibatkan kira-kira 2.500 rumah kehilangan kuasa elektrik.

Setakat ini sudah beberapa amaran tentang ancaman banjir teruk yang boleh mengancam nyawa dikeluarkan di England dan Wales, selain lebih 100 amaran banjir lain yang memerlukan tindakan pasukan keselamatan.

Laporan cuaca BBC melaporkan angin ribut dari Laut Ireland mula melanda pada Selasa, manakala hujan lebat di sebelah barat laut dan selatan England, selain Scotland serta Wales.

Kelajuan angin boleh mencapai 80 kilometer sejam di sebelah utara pada awal pagi selain hujan yang mencurah sehingga paras 100 milimeter.

Selain merencat banyak aktiviti harian, perkembangan cuaca buruk tersebut turut menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Belfast yang telah mengumumkan larangan pendaratan bagi beberapa pesawat pada Selasa malam kerana angin kencang.

Sehingga kini pihak berkuasa tempatan sedang bekerjasama dengan pasukan menyelamat bagi persediaan sekiranya kemungkinan yang lebih buruk berlaku.