RIBUAN guru berarak di jalan-jalan utama di Buenos Aires pada Isnin bagi menyokong mogok lapar selama 48 jam.

Mogok yang dianjurkan Kesatuan Guru Argentina itu menyaksikan sesi pembelajaran dan pengajaran beratus-ratus sekolah tergendala di negara itu.

Mereka menuntut polisi pendidikan digubal semula bagi membolehkan kenaikan gaji dibuat berikutan kadar inflasi tinggi yang dicatatkan Argentina sejak tahun lalu.

Warga pendidik terbabit mendesak kerajaan agar menaikkan kadar gaji lebih tinggi berbanding yang ditetapkan sebelum ini iaitu 12 peratus di kawasan luar bandar dan 15 peratus di Buenos Aires.

Presiden Mauricio Macri pada hari sama mengakui sistem pendidikan di negara itu kini berdepan cabaran besar berikutan mogok terbabit.

Pentadbiran Macri sebelum ini menetapkan kadar kenaikan gaji tidak boleh melebihi kadar inflasi 15 peratus untuk tahun ini.

Namun penganalisis ekonomi mengunjurkan kenaikan kos sara hidup di Argentina kini meningkat sebanyak 20 peratus.