REZEKI sememangnya ada di mana-mana, namun apa yang diharungi oleh pemuda berusia 21 tahun ini benar-benar membuktikan bahawa rezeki 'tidak pernah salah alamat'.

Hanya empat tahun lalu, Harry Sanders hanyalah seorang jejaka yang tidak mempunyai tempat tinggal dan tidur di bawah jambatan.

Kini, Harry yang berasal dari Melbourne, Australia itu merupakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikatnya sendiri, Studiohawk yang bernilai AU$1.5 juta (RM4.25 juta).

Menurut Harry, ramai beranggapan bahawa mereka perlu bekerja sehingga lewat malam untuk berjaya namun bagi dirinya, seorang manusia perlulah mempunyai tidur yang cukup kerana ia akan mengakibatkan seseorang itu sukar untuk melakukan kerja.

“Saya selalu tidur selama lapan jam atau lebih setiap malam agar saya boleh memberikan yang terbaik pada hari seterusnya,”

“Berhenti menyemak e-mel anda sehingga jam 3 pagi dan rehat secukupnya,” kata beliau menerusi laporan antarabangsa Mirror.

Pada usia 17 tahun, Harry telah menghabiskan lebih dari setahun tidur di tepi jalan, di pusat gelandangan dan menumpang di rumah rakan-rakan yang ada.

Harry menambah bahawa walaupun ia adalah satu tempoh yang paling pahit dalam perjalanan hidupnya, namun masa yang terluang sebagai seorang gelandangan itulah yang banyak memberikan pengajaran yang tidak ternilai yang juga dikatakan telah membantunya sebagai seorang jutawan.

"Malam pertama menjadi gelandangan adalah yang paling teruk. Saya tidak tahu ke mana hendak pergi atau apa yang perlu dilakukan.

"Saya menghabiskan beberapa malam pertama saya di bawah jambatan, tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan merasa rendah diri untuk meminta bantuan daripada sesiapa,” tambahnya.

Meskipun pelbagai liku yang dihadapinya, Harry merasakan bahawa pengalaman menjadi gelandangan telah banyak mengajar dirinya erti kehidupan dan mematangkan dirinya.

"Saya tidak akan menjadi orang yang sama jika tidak untuk itu. Melalui kesukaran seperti itu juga membuat saya lebih yakin ketika berhadapan dengan situasi yang tertekan,” kata Harry lagi.

Dia yang kini bergelar seorang usahawan berjaya, turut berkongsi beberapa petua diatas kejayaan dirinya itu antaranya ialah jangan memakai sut, kerana ia boleh mengubah pandangan seseorang selain tidurlah secukup yang mungkin, setiap hari.

“Perkara yang paling penting yang boleh anda lakukan adalah berpakaian kemas untuk diri anda sendiri. Saya tidak pernah memakai pakaian mahal kerana bagi saya, dengan usia 21 tahun memakai pakaian yang mahal boleh memberikan imej tidak baik,” kata pengarah syarikat Studiohawk itu.

Studiohawk merupakan sebuah agensi syarikat yang berfokuskan kepada Pengoptimuman Enjin Carian (SEO) yang telah membantu banyak laman web menjadi lebih mudah untuk dicari dan kini merupakan antara syarikat SEO terbesar di Australia.

Harry sememangnya sangat tertarik dan obses dengan teknologi SEO sejak kecil lagi dan telah menceburi dalam bidang tersebut seawal usia 16 tahun, namun impiannya hancur selepas mengalami krisis ketiadaan wang.

Walau bagaimanapun, kalau sudah ditakdirkan sebagai rezeki, pemuda itu bangkit dengan ‘comeback’ yang besar sehinggalah menjadi seorang usahawan muda berjaya pada hari ini.