Kesemua remaja pasukan bola sepak Thailand yang terperangkap dalam Gua Tham Luang menyertai satu upacara keagamaan sebagai memanjatkan kesyukuran susulan kejayaan operasi menyelamatkan mereka kira-kira 10 hari lalu.

Upacara yang diadakan di sebuah kuil di Mae Sai pada Khamis itu turut dihadiri saudara-mara kumpulan remaja berkenaan.

Mengikut kepercayaan Buddha, upacara itu bertujuan melanjutkan usia penganutnya.

Dua belas remaja tersebut, yang berusia antara 11 dan 16 tahun, bersama jurulatih mereka yang berusia 25 tahun, dibenarkan keluar dari hospital di Chiang Rai pada Rabu minggu lalu.

Mereka membuat kemunculan pertama di khalayak ramai pada hari yang sama.

Satu momen istimewa turut dirakam menunjukkan kesemua remaja berkenaan bermain bola sepak dengan penyelamat mereka selepas dibenarkan keluar hospital.