Kesemua remaja dan seorang jurulatih pasukan bola sepak Thailand yang terperangkap dalam gua Tham Luang buat pertama kali bangun tidur di rumah sendiri selepas tiga minggu.

Kebanyakkan mereka dilihat bangkit awal bagi menyertai upacara keagamaan bersama saudara-mara mereka bagi memanjatkan kesyukuran susulan kejayaan operasi menyelamatkan mereka.

12 remaja tersebut yang berusia antara 11 dan 16 bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun, dibenarkan keluar dari hospital di Chiang Rai pada Rabu dan membuat kemunculan pertama di khalayak ramai pada hari yang sama.

Semasa majlis tersebut yang disiarkan media tempatan, mereka melemparkan senyuman, saling bergurau dan menunjukkan sokongan antara satu sama lain sambil berkongsi pengalaman semasa terperangkap di dalam gua Tham Luang selepas ia dinaiki air.

Ramai di antara remaja ini berasal dari daerah terpencil Mae Sai, berdekatan dengan sempadan Myanmar.

Mereka disambut dengan pelukan, tangisan dan senyuman daripada ahli keluarga dan rakan yang menanti kepulangan mereka pada Rabu.

Pada Khamis, ramai di antara mereka menghadiri upacara keagamaan di kuil Wat Pha That Doi Wao di Mae Sai.

Kumpulan wartawan tidak dibenarkan menghampiri remaja terbabit serta ahli keluarga mereka semasa berada di kuil tersebut.