PEMBUNUHAN secara besar-besaran yang menyasarkan komander keselamatan dan perisikan Iran, Jeneral Qassem Soleimani oleh Amerika Syarikat (AS) amat mengejutkan dunia, khususnya rakyat Iran.

Ia juga sekali gus mencetuskan gelombang amarah mendalam ribuan rakyat iran terhadap Presiden AS, Donald Trump.

Di Tehran, misalnya, rakyat Iran yang hadir pada solat Jumaat mengadakan rapat umum sebagai tanda protes dan menuntut pembalasan terhadap Amerika Syarikat kerana membunuh jeneral mereka, Soleimani.

Media tempatan melaporkan, gerakan menuntut bela dan balas dendam untuk Soleimani tidak akan membenarkan Presiden AS Donald Trump hidup dengan tenang.

Bagaimanapun, ramai berpendapat bahawa kekuatan ketenteraan AS yang kuat yang ditempatkan di Syria dan Iraq, rakyat Iran mungkin akan berhati-hati dalam melancarkan serangan balas yang boleh mencetuskan pelbagai konflik itu.

Malah, serangan yang disasarkan pada Jumaat itu turut memberi isyarat bahawa Trump sanggup menggunakan kekuatan ketenteraan AS dalam cara yang dramatik dan tidak diduga.

Jeneral yang terbunuh, Qassem Soleimani, adalah seorang tokoh yang dijulang tinggi yang menggerakkan anggota militia bersenjata di seluruh rantau itu menentang AS dan sekutunya, yang ingin memperluaskan pengaruhnya dari Iran ke Mediterranean.

Kematian Soleimani adalah tamparan besar ke seluruh rakyat Iran dan sekali gus membawa kepada hampir semua orang dari Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, bersumpah membalas dendam secara besar-besaran.


"Semestinya akan ada pelbagai reaksi bercampur baur dari rakyat Iran mengenai kematian jeneral mereka, namun persoalannya adalah di mana, bila dan bagaimana mereka akan melakukannya (membalas dendam),” kata penganalisis akhbar An-Nahar di Lebanon, Ibrahim Bayram.

"Saya fikir rakyat Iran tahu cara untuk melaksanakannya,” ujar Bayram lagi.

Serangan pada Jumaat tersebut sememangnya boleh menarik tindakan balas Iran terhadap kepentingan AS di rantau berkenaan dan ia boleh menjadi konflik yang jauh lebih besar antara Amerika Syarikat dan Iran, sekaligus membahayakan tentera Amerika di Iraq dan Syria.