Ahli keluarga mereka yang terkorban dalam pesawat AirAsia Indonesia yang jatuh ke Laut Jawa setahun lalu mendesak permohonan maaf akibat kecuaian setelah siasatan menunjukkan komponen pesawat yang rosak antara lain menjadi penyumbang kepada nahas.

Dalam insiden yang mengorbankan 162 nyawa pada 28 Disember 2014 itu, pesawat QZ8501 yang dalam penerbangan dari Surabaya menuju Singapura menjunam ke Laut Jawa sewaktu ribut.

Keluarga dan saudara-mara sebahagian daripada penumpang pesawat itu, pegawai AirAsia dan ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia hari ini menghadiri upacara peringatan setahun tragedi tersebut, di Surabaya.

Lebih awal daripada hari upacara itu, sebuah persatuan telah ditubuhkan oleh kaum keluarga mangsa nahas itu untuk mendesak permohonan maaf dari AirAsia.

Beberapa minggu lalu, pasukan penyiasat Indonesia mendedahkan hasil laporan akhir yang mendapati pesawat itu mengalami kerosakan pada bahagian sistem kawalan kemudinya, selain penyelenggaraan yang lemah hingga memberi kesan kepada tindak balas juruterbang.

“Kami mendesak AirAsia membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas sebab kecuaian yang mengakibatkan nyawa terkorban,” ujar kenyataan daripada kumpulan itu.

Kenyataan daripada persatuan itu turut menyatakan, ahli keluarga mangsa terkejut apabila laporan siasatan menunjukkan siri kejadian yang disebabkan oleh komponen yang rosak.

BACA: QZ8501: 10 keluarga fail saman terhadap AirAsia, Airbus