Polis Metropolitan London sedang menyiasat kandungan sepucuk surat berisi serbuk putih yang dihantar kepada Putera Diraja Britain, Putera Harry dan tunangnya pelakon Meghan Markle.

Serbuk putih yang pada awalnya disangka serbuk anthrax itu dilaporkan telah dihantar ke kediaman mereka di Istana Kensington namun berjaya disekat pihak keselamatan.

Menurut laporan Evening Standard, surat yang diterima pada 12 Februari itu juga didapati mengandungi mesej berunsur perkauman.

Bagaimanapun, hasil analisa terhadap serbuk berkenaan mendapati ia tidak berbahaya dan kes kini sedang disiasat pasukan anti-keganasan.

Ancaman terbaharu itu meletakkan polis dalam keadaan berjaga-jaga menjelang perkahwinan pasangan itu pada 19 Mei depan.

Sementara itu, polis juga mendedahkan laporan bahawa bungkusan mengandungi serbuk putih turut dihantar kepada Setiausaha Dalam Negeri Britain, Amber Rudd di Parlimen pada 13 Februari lalu.

Hasil siasatan mendapati kandungan bahan berkenaan tidak berbahaya.

Polis sedang mengenal pasti sama ada kedua kes berkenaan mempunyai kaitan.

Tiada tangkapan yang dibuat polis setakat ini.