Beberapa letupan telah berlaku di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka pada Ahad ketika sambutan Hari Easter.

Agensi berita AFP melaporkan, setakat ini 42 orang didapati terbunuh sementara 160 lagi cedera.

Hotel dan salah sebuah gereja tersebut berada di Colombo, manakala sebuah lagi gereja terletak di Negombo, utara bandar berkenaan.

Sumber polis memaklumkan, salah satu letupan tersebut berlaku di Gereja St Anthony di Kochcikade.

Sementara itu, polis tempatan turut mengesahkan lebih 50 maut dalam letupan yang berlaku di sebuah gereja di Katuwapitiya, utara Colombo.

Media tempatan pula melaporkan, 70 maut dan lebih 300 cedera dalam siri letupan tersebut.

Angka tersebut dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa selepas pihak berkuasa mengemaskini jumlah terkini mereka yang terlibat.