Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan pilihan raya umum (PRU) kali ini sebagai luar biasa kerana diadakan ketika republik itu berada dalam kancah krisis terburuk akibat ancaman COVID-19.

Semasa pelancaran manifesto kempen PRU Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau berkata wujud keperluan mendesak untuk memastikan setiap tindakan yang dilakukan singapura berjalan lancar.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAP berkata manifesto parti ketika ini adalah pelan jangka panjang untuk Singapura.

Bagaimanapun, kata beliau, memandangkan negara sedang berdepan dengan pandemik, tumpuan utama manifesto kali ini adalah untuk bekerjasama menangani krisis berkenaan.

Pelancaran manifesto dengan slogan kempen PAP kali ini, "Kehidupan kita, kerjaya kita, masa depan kita", diumumkan Hsien Loong menerusi siaran langsung di Facebook berikutan pandemik COVID-19.

Sumber Facebook leehsienloong

Dengan pelancaran manifesto itu, kempen PAP kini bermula.

Ia antara lain turut mengumumkan 27 calon muka baharu yang disifatkan PAP sebagai gabungan hebat menampilkan profesional, usahawan, ahli perniagaan, wanita, pekerja sosial, kakitangan awam dan pegawai tentera.

Penamaan calon ditetapkan pada 30 Jun manakala hari pengundian pula pada 10 Julai ini.